Pembakaran
terbuka ditakrifkan sebagai "pembakaran sebarang bahan dalam
cara yang hasil pembakaran dari pembakaran tersebut dibebaskan secara
langsung ke udara sekitar tanpa melalui serombong, pendiang, atau
lohong." Secara umumnya, setiap kali anda menyalakan api di
luar, anda membuat pembakaran terbuka.
Pembakaran
terbuka adalah salah satu penyebab utama kepada berlakunya pencemaran
udara. Pembakaran terbuka kebanyakannya dikesan berlaku di kawasan
tapak pelupusan sampah, sisa pepejal di kawasan industri dan tapak
pembinaan, sisa perladangan, sisa kebun serta pembakaran di hutan
simpan. Keadaan pencemaran menjadi lebih serius pada musim panas yang
berpanjangan kerana ia turut menyumbang kepada masalah jerebu yang
menjejaskan kesihatan awam dan mengurangkan jarak penglihatan.
Masalah jerebu yang melanda Malaysia pada 1997 menyebabkan hampir
seluruh negara seolah-olah diselubungi `asap'. Keadaan jerebu yang
berlaku ketika itu amatlah membimbangkan sehingga menyebabkan indeks
pencemaran udara (IPU) meningkat sehingga ke paras yang sangat
bahaya.
IPU
adalah satu sistem ukuran yang dibangunkan untuk memaklumkan kepada
orang ramai mengenai tahap kualiti udara dan impaknya terhadap
kesihatan dengan cara yang termudah. IPU mengukur kepekatan bahan
pencemar yang terampai dan dalam suatu nombor pada skala antara 0
hingga 500. Justeru, bagi mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap
aktiviti pembakaran terbuka, sejak 1998 Jabatan Alam Sekitar (JAS)
melancarkan Operasi Mencegah Kebakaran Terbuka (Ops Bakar) di seluruh
negara. Operasi berkenaan adalah program bersepadu membabitkan aspek
pengesanan, penyiasatan dan tindakan penguatkuasaan, memadam,
aktiviti kesedaran serta pendidikan.
Selain
itu, langkah penguatkuasaan undang-undang lebih tegas dengan
membabitkan pelbagai agensi kerajaan memantau masalah itu juga perlu.
Larangan pembakaran terbuka tidak boleh dilaksanakan hanya dengan
arahan. Ia sepatutnya disertai dengan penguatkuasaan undang-undang.
Pembakaran terbuka akan terus berlaku selagi belum ada bukti setiap
mereka yang melakukan kesalahan dikenakan hukuman setimpal. Jika kes
pembakaran terbuka dilakukan oleh individu atau syarikat, mereka
perlu dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman mengikut Akta
Kualiti Alam Sekeliling 1974. Sememangnya hukuman yang boleh
dikenakan terhadap pesalah adalah berat iaitu denda maksimum RM500
000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya serta kompaun
maksimum RM2 000.
No comments:
Post a Comment